Edisi Motivasi: Jahitan dan kerjaya

DAHULU, kapitan gunting yang tajam membelah rentang kain berwarna-warni disulami bunyi mesin jahit tanpa henti dimonopoli wanita yang mahu menambah pendapatan keluarga.

Kini, lelaki juga mula berjinak dengan jahitan, malah dilihat lebih teliti dalam rekaan, sesuai dengan pilihan pelanggan dalam dunia fesyen yang bergerak pantas.

Othman Abdullah, 46, atau lebih dikenali sebagai Man Kajang ialah antara lelaki terawal mengabdikan diri dalam bidang rekaan dan jahitan sehingga beliau kini menjadi pereka fesyen ternama di Malaysia.

Anak kelahiran Muar, Johor ini mengakui semasa zaman persekolahan, beliau tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pereka fesyen kerana bercita-cita mahu menjadi seorang guru untuk berbakti kepada negara.

“Saya tidak sangka, bidang yang asing kepada saya ketika kanak-kanak kini jadi sumber rezeki utama. Saya tidak pernah memegang mesin jahit. Malah, ibu saya juga bukan tukang jahit,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada 12 adik-beradik.

Man berkata, setelah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, beliau menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1980-an.

“Saya tidak terima tawaran itu kerana tidak tahu prospek kerjaya selepas tamat belajar. Sebaliknya saya pilih untuk sambung pelajaran dalam bidang jahitan pakaian lelaki di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Jasin,” katanya.


Institut Mara pembuka rezeki

Di situlah bermula fasa baharu hidupnya kerana beliau perlu belajar mendampingi benang, kain dan jarum setiap hari.

“Saya kuatkan semangat untuk habiskan pengajian kerana prinsip saya ialah kegagalan bukan pengakhiran yang diingini.

“Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan pengajian tetapi tidak lulus dengan cemerlang. Saya tidak malu untuk memohon pekerjaan kerana apa yang penting ialah kemahiran.

“Pengalaman mengikuti latihan dalam kilang di Tom Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur semasa belajar memberi seribu satu pengalaman berharga. Tom Tailor ialah sifu saya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Tun Sri Lanang di Bukit Serampang, Johor itu.

Man berkata, elaun Mara RM350 sebulan ketika mengikuti latihan itu tidak mencukupi untuk hidup di Kuala Lumpur pada 1980-an.

“Saya ambil inisiatif sendiri bekerja lebih masa untuk jahit pakaian di Tom Tailor. Selain gaji, saya dapat komisen berdasarkan jumlah pakaian berjaya dijahit.

“Kadang-kala saya tidak pulang ke rumah dan habiskan masa di kedai untuk siapkan pakaian. Bersengkang mata dan tidur tidak menentu. Saya mahu kumpul wang untuk jadi modal perniagaan sendiri,” katanya mengimbas pengalaman.

Beliau berjaya mengumpul wang komisen antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan dan nilai itu terlalu besar pada waktu itu.

“Alhamdulillah, saya berjaya simpan RM1,000 sebulan dan ia dijadikan modal untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya.


Jahit kemeja Tun M

Selepas habis belajar, beliau bekerja sebagai penolong pemotong kain dan penjahit baju di Butik Baldini, Jalan Ampang selama tiga bulan.

“Di butik ini, saya menjahit kemeja bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya ukur baju di badan Tun dan berjaya siapkannya dalam seminggu.

“Selalunya, saya hanya ambil masa dua hari sahaja untuk siapkan kemeja tetapi pakaian Tun dijahit penuh teliti. Itu pengalaman manis yang masih terpahat dalam ingatan saya sebagai tukang jahit,” katanya.

Sekitar 1990-an, Man membuka kedai jahit secara kecil-kecilan di Arked Medan Mara, Kajang dan membeli mesin jahit dengan membayar secara ansuran.

Beliau masih beroperasi di situ sehingga kini.

“Saya tidak ada modal yang banyak. Saya tidak pernah buat pinjaman wang dari mana-mana bank.

“Sebulan selepas membuka kedai jahitan, saya berjaya dapat pulangan modal. Alhamdulillah, saya terima banyak tempahan pakaian lelaki seperti baju Melayu dan kemeja. Dalam masa sama, saya belajar sendiri mereka dan menjahit pakaian wanita kerana busana wanita ada permintaan tinggi,” katanya.

Man berkata, beliau melihat bidang jahitan memberi peluang perniagaan besar.

“Saya masih ingat, pendapatan pada tahun pertama ialah RM10,000 sebulan. Selepas lima tahun menjahit pakaian lelaki, saya menceburi bidang jahitan pakaian wanita khusus busana pengantin,” katanya.

Man berkata, pakaian pertama dijahitnya ialah baju kurung moden berharga RM250 sepasang dan upah bagi setiap baju Melayu hanya RM50 pada waktu itu.

“Saya hanya keluarkan modal beli benang sahaja kerana pelanggan akan beli kain dan material yang mereka mahukan. Itulah untungnya membuka kedai jahit, tidak perlukan modal yang besar,” katanya.


Galak orang muda fokus kepada minat

Man kini menggaji lima pekerja untuk memastikan tempahan dapat disiapkan seperti dijanjikan. Pada 2000, beliau mula memperkenalkan pakej perkahwinan serendah RM2,500 dan kini pakej itu bermula RM50,000 selain mengikut bajet pelanggan.

“Pakej ini meliputi hantaran, pelamin, beberapa pasang pakaian pengantin, solekan dan gambar.

“Alhamdulillah, pendapatan kasar setiap bulan kini mencecah RM100,000,” katanya.

Satu lagi keistimewaan perkhidmatan Man Kajang ialah beliau juga menerima tempahan pakej pengantin di saat-saat akhir kerana memahami banyak kes seperti bakal pengantin ditipu, rekaan pakaian tidak menepati cita rasa dan sebagainya.

Sejak akhir-akhir ini, Man juga dilihat menyediakan pakej perkahwinan kepada beberapa selebriti terkenal antaranya pelakon Rozita Che Wan dan anak usahawan tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim menyebabkan beliau dianggap pereka yang mengenakan caj mahal dan mempunyai kelas tersendiri.

“Saya terima sesiapa sahaja yang mahu guna perkhidmatan saya. Saya tidak mengehadkan kepada artis atau orang kenamaan," katanya yang turut pernah menyediakan perkhidmatan untuk Erra Fazira.

Beliau juga menerima tempahan pemimpin tanah air, kerabat dalam dan luar negara serta pelanggan atau rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Setelah berada hampir tiga dekad dalam dunia perniagaan dan fesyen, Man berkata, beliau berusaha keras untuk berada di tahap sekarang dengan mengharungi pelbagai dugaan.

“Saya masih seperti dahulu, masih menjahit sendiri pakaian yang ditempah tetapi fokus kepada busana pengantin sahaja," katanya.

Melihat perkembangan fesyen terkini, Man menasihati orang muda yang meminati jahitan supaya fokus kepada bidang itu.

"Carilah peluang untuk majukan diri sendiri dan cari pengalaman bekerja terlebih dahulu.

“Kita belajar kemahiran berkomunikasi, idea rekaan dan pemilihan kain. Itu penting bagi memastikan orang akan ingat kita apabila mereka mahu buat tempahan pakaian. Contohnya ingat kain, ingat Man Kajang,” selorohnya.
 
 

Comments

Popular Posts